Selasa, 23 Disember 2008

Pokok herba, ulaman hias laman

Menghias taman bukan bermaksud hanya halaman hadapan rumah tetapi juga di belakang kediaman yang sering dilupakan. Di kampung, laman belakang adalah taman 'syurga' buat wanita kerana di situlah mereka menanam pelbagai jenis rempah ratus dan ulam-ulaman untuk dijadikan hidangan keluarga. Daun kunyit, kari, halia malah pegaga sering menghiasi taman dapur begitu juga pokok berbunga cantik kategori herba seperti misai kucing dan ulam raja yang turut menghiasi laman depan rumah.


Bolehkah rumah bandar terutama teres mempunyai laman dapur atau kebun herba seperti di kampung? Jawapannya, boleh jika kita bijak mereka bentuk laman mengikut ruang dan saiz keluasan kediaman dimiliki.

Pembantu Pertanian Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Abdul Rahim Rashid berkata, bagi memastikan aktiviti berkebun tidak mencemarkan pemandangan kawasan rumah maka perlu difahami panduan mereka
bentuk pelan landskap rumah kediaman. Katanya, ia penting bagi memenuhi nilai ekonomi, kesejahteraan, keselesaan, keagamaan dan juga alam sekitar.

“Selain itu ia juga akan dapat dijadikan panduan kepada arkitek landskap dan pereka landskap untuk membina taman kebun di kawasan kediaman terutama rumah bandar termasuk teres,” katanya pada Bengkel Seni Hias Laman Putrajaya anjuran Perbadanan Putrajaya, baru-baru ini.

Bengkel itu menggabungkan teori asas cara penanaman pokok selain kursus praktikal merangkumi topik media tanaman, asas pembiakan pokok, kaedah penanaman dan penyelenggaraan landskap, demonstrasi penanaman dan penyelenggaraan landskap.

Konsep asas mereka bentuk kebun dapur adalah penanaman tanaman yang memberi manfaat kepada keluarga untuk tujuan masakan dan ubatan melalui gabungan dan susunan tanaman perisa, sayuran, ulam dan tumbuhan ubatan dengan tanaman hiasan lain seperti Marigold.

Matlamatnya adalah untuk memenuhi keperluan harian dapur terutama dari segi bekalan sayuran segar dan bermutu tinggi dan biasanya ia dari jenis yang mudah diselenggara dan disesuaikan dengan landskap keseluruhan rumah sedia ada.

Perkara utama selepas konsep kebun sayur dikenal pasti ialah pemilihan tanaman yang sesuai. Seeloknya, tumbuhan ubatan, ulaman dan rempah ratus adalah dari jenis naungan, renek, herba, penutup bumi, jenis memanjat dan lendir. Setiap tumbuhan berkenaan memberikan khasiat tertentu untuk tujuan masakan dan perubatan.



Pemilihan tumbuhan di satu-satu kawasan penting dan perlulah mempunyai hasil serta mutu yang tinggi serta tahan kepada perosak dan penyakit. Seeloknya, pilihlah tanaman yang boleh dituai berpanjangan berbanding tanaman yang hanya boleh dituai sekali gus atau jangka pendek.

Penuaian berterusan boleh diperoleh menerusi penanaman berperingkat atau mengamalkan sistem tanaman ganti. Namun, kriteria utama pemilihan jenis tanaman kebun dapur atau taman dapur adalah bergantung kepada keupayaan kita menguruskannya, kesesuaian dengan kawasan sedia selain kesinambungannya dengan landskap keseluruhan kediaman.

Fakta Mengenai Tanaman Laman Dapur

Pokok jenis naungan adalah seperti tembusu (frarea fragrans), asam jawa, tanjung dan jambu batu.

Pokok jenis tumbuhan renek pula seperti bunga raya, siantan, melur, pandan dan bunga tahi ayam (lantana camara)

Pokok jenis herba ubatan adalah seperti kekwa (chrysanthemum indicum), ati-ati (coleus camara), misai kucing, kesum dan halia.

Pokok jenis penutup bumi pula adalah pudina dan kadok manakala jenis rumput biasanya seperti Serai dan pokok putarwali adalah contoh pohon memanjat.

Pohon jenis lendir pula adalah seperti setawar (bropphyllum pinnatum), sepulih (eriocaulis Sp) dan lidah buaya.

Isnin, 15 Disember 2008

Kempen Bumi Hijau

Tanam ternak guna sendiri, jimat cermat bina ekonomi!

LATAR BELAKANG
Pewujudan semula Kempen Bumi Hijau (dahulunya Buku Hijau) yang berteraskan ‘Amalan Bercucuk Tanam’ telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober 2005.
Matlamat utama program ini ialah untuk menggalakkan rakyat bercucuk tanam bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan harian.

Langkah ini diharap dapat membendung impak kenaikan harga barangan makanan serta meringankan beban kewangan kesan kenaikan harga minyak.
Kempen ini akan dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama di kalangan penduduk-penduduk taman perumahan di Bandar.

Kempen ini juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan di samping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik.




KONSEP PELAKSANAAN

Kempen ini terdiri daripada 3 komponen iaitu tanaman, ternakan dan akuakultur.
Amalan bercucuk tanam yang akan dilaksanakan berkonsepkan ‘kitchen garden’ atau ‘edible landscape’ dengan menanam tanaman yang bersesuaian dengan ruang yang sedia ada untuk keperluan keluarga.

Kempen ini menekankan konsep pengeluaran makanan hanya untuk yang boleh ditanam sendiri sahaja. Jenis tanaman yang boleh ditanam terdiri daripada sayur-sayuran daun dan buah, herba dan ulam-ulaman yang boleh dituai secara berterusan.
Kempen ini ditujukan kepada semua rakyat dengan fokus utama disasarkan kepada penduduk taman perumahan, penghuni rumah pangsa dan murid-murid sekolah.

Bagi menjayakan kempen ini, anak-anak pokok ditanam di dalam bekas mudah alih seperti pasu, polibeg dan seumpamanya atau di atas tanah kosong milik kerajaan, majlis tempatan, swasta, rumah ibadat dan sebagainya yang berhampiran.

Tanaman sayur-sayuran dan ulam-ulaman seperti sawi, bayam, cili terung, selom dan herba seperti daun kari, daun kunyit sesuai dilaksanakan untuk Kempen Bumi Hijau ini.
Anggaran sejumlah 500,000 anak pokok perlu disediakan untuk menyokong pelaksanaan pelancaran Kempen Program Bumi Hijau bagi seluruh negara. Komponen Ternakan boleh melibatkan aktiviti pemeliharaan ayam kampung untuk daging dan telur.

Akuakultur pula melibatkan aktiviti ternakan ikan keli dalam tangki kanvas, ternakan ikan jenis tilapia dalam sangkar dan pelepasan benih ikan dalam kawasan pengairan umum.

.:: MY DIGITAL AKUAKULTUR .::




*** Klik je untuk bagi makan... terima kasih~ ***


Ahad, 14 Disember 2008

Bekas doktor tanam cendawan shiitake

Cendawan satu ketika dulu hanyalah tumbuhan liar, yang banyak didapati pada kayu reput, atas tanah, dalam hutan dan seperti kata pepatah, kelihatan selepas hujan.

Dengan kata lain, ciri-ciri tersebut menjadikan tumbuhan tersebut tidak mempunyai nilai komersial dan hanya penting untuk makanan semata-mata.

Itu senario dulu tetapi dengan perkembangan sektor pertanian yang semakin memberangsangkan, ramai menyedari bahawa cendawan sebenarnya satu tanaman industri yang berpotensi untuk menjana ekonomi.

Malah, dengan perkembangan bidang bioteknologi, cendawan juga boleh dianggap penyumbang kepada bidang tersebut kerana mempunyai nilai perubatan yang tinggi.

Berdasarkan statistik 2005, seorang penduduk negara ini makan hanya 324 gram setahun dengan keperluan sebanyak 8,424 tan setahun.

Jabatan Pertanian bagaimanapun menyasarkan penggunaan cendawan sebagai makanan sebanyak dua kilogram setahun.

Ketika ini, pelbagai cendawan yang popular ditanam di negara ini antaranya Auricularia sp (telinga kera /jeli hitam), Schizophyllum commune (cendawan kukur), Flammulina velutipes (jarum emas) dan Agarcius braslllensis (cendawan butang), Spesies lain termasuk Ganoderma sp. (Ling zhi), Hericum erinaceum (cendawan bunga kubis) Pleurotus cystidiosus (abalone); Pleurotus flabellatus (tiram merah jambu); Pleurotus citrinopileatus (tiram kuning); Pleurotus florida (tiram putih) dan Pleurotus sajor-caju (tiram kelabu).

Selain cendawan tiram kelabu yang popular sekarang, cendawan lain yang tidak kurang mendapat tempat di kalangan pengusaha tanaman tersebut ialah shiitake.

Buktinya, seorang doktor perubatan dan keluarganya berjaya mengusahakan tanaman tersebut di Gunung Jerai, Kedah sejak 1985 lagi.






Doktor perubatan terbabit, Dr Shirley Ooi,35, berkata, bapanya, Ooi Chooi Liang, adalah individu yang bertanggungjawab menggerakkan industri tanaman tersebut sedangkan pada masa itu, tidak ramai berminat dengan tanaman cendawan.

Mereka memulakan perusahaan tersebut dengan modal RM50,000 daripada simpanan sendiri. Ketika itu, sebagai permulaan bapa saya menanam 15 spesies cendawan termasuk cendawan brazil, butang dan oyster.

“Bagaimanapun, orang Malaysia tidak minat tanam cendawan ketika itu dan bapa saya hampir putus asa,’’ katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, bapanya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada spesies shiitake selain butang.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kanada pada 1996 dan meninggalkan ayahnya untuk meneruskan perusahaan tanaman tersebut.


Ketika di sana, dia mendapat tahu bahawa selain brazil, cendawan shiitake antara yang popular dan ia mendorongnya untuk meneruskan projek tersebut.

Cendawan, shiitake katanya lebih kejap daripada segi teksturnya, tidak renyuh, tidak berbau dan rasanya juga macam daging. Ia juga mempunyai nilai perubatan.

“Orang gemar menggunakannya sebagai makanan tambahan, masak lemak cili api dan serunding.

“Sejak itu saya yakinkan bapa saya supaya memberi tumpuan kepada shiitake yang bermula pada 1997,” ujarnya.

Selepas berkhidmat sebagai doktor di Kanadam, beliau kembali ke tanah air untuk meneruskan projek tersebut bersama bapanya dan nasib mereka bertambah baik apabila salah seorang anggota keluarga mereka bersetuju melabur RM1 juta pada 2005.

Shiitake atau nama saintifiknya Lentinus edodes mengandungi lentinan iaitu sejenis sebatian anti kanser dan membantu mengurangkan kesan tumor dan tanpa kolesterol.

Namun katanya, kerja menyediakan bahan untuk menanam cendawan tersebut melibatkan banyak perkara kerana ia merupakan spesies yang sensitif dan memerlukan keadaan bersih terutama semasa inokulasi.

Kaedah menanamnya lebih kurang sama dengan cendawan lain seperti tiram kelabu yang juga menggunakan polibeg tetapi perlu ditegakkan.

Tanaman cendawan yang diusahakannya juga tidak menggunakan tahi lembu dan lebih mesra alam iaitu kurang populasi bakteria.

Bahan yang digunakan termasuk dedak air, kalsium karbonat dan satu ramuan rahsia.

Benih yang digunakan pula dipilih daripada jenis yang bermutu.

Katanya benih tersebut mestilah yang berbunga besar, batang tebal dan kejap serta mempunyai insang tertutup untuk proses kultur tisu.

Bagi membolehkan ia menghasilkan keluaran lebih baik, benih seharusnya diambil daripada generasi ketiga.

Justeru, meskipun shiitake berasal dari Jepun, proses adaptasi dengan persekitaran di Gunung Jerai menjadikannya sebagai cendawan hibrid gunung tersebut.

Selain itu, ia perlu diubah kepada media oat terlebih dahulu dari kultur tisu sebelum ditanam sepenuhnya kerana dengan cara ini peluang hidup lebih tinggi berbanding terus kepada kultur tisu.

Polibeg shiitake perlu diletakkan menegak bagi membolehkan misellium nya bergerak dari atas ke bawah dan kemudiannya membentuk koloni.

Mengenai penjagaan pula katanya, apabila cendawan muncul di mulut polibeg dalam tempoh tujuh hingga sepuluh hari dan ‘rehat’ selama 20 hari.

Selepas 20 hari, ia perlu disiram dalam keadaan polibeg tertutup dan terbalikkan dan akan cendawan akan muncul semula pada hari kelima.

Ia boleh menghasilkan cendawan dalam tempoh tiga atau empat bulan sebelum memulakan penanaman baru.

Menurutnya, pengeluarannya hasil ladangnya kini mencecah 150 kilogram sehari dan ia banyak di pasarkan ke pasar raya-pasar raya besar.

Pada masa sama, beliau juga memanfaatkan media tanaman cendawan tersebut untuk menghasilkan baja kompos.

Baja tersebut digunakan untuk tanaman 25 jenis sayur-sayuran yang turut diusahakannya seperti brokoli di kawasan tersebut.

Selepas sekian lama, beliau bercadang mengembangkan perusahaan tersebut kepada bioteknologi berkaitan farmasutikal dengan memanfaatkan sebatian lentinan tersebut.

Kawasan ladang tersebut yang kini beroperasi atas nama syarikat AgroBio Future berkeluasan 10 ekar menjadi bukti kesungguhannya menceburi bidang pertanian selepas meninggalkan kerjaya sebagai doktor.





Hasil Ekstrak Herba